Rabu, Julai 14, 2010

Pengenalan Kepada Ilmu Tasauf

Di antara ilmu yang termasuk dalam kategori ilmu fardhu ain ialah ilmu tasauf.Sabda Rasulullah S.A.W : Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging. Bila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila ia jahat nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya.Ketahuilah! iaitulah kallbu(hati)-Hadith riwayat Bukhari dan Muslim-

Daripada keterangan hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kemuncak kepada segala perbuatan yang kita lakukan adalah berpunca dan datang daripada hati.Hatilah merupakan raja kepada segala perbuatan kita.Apa saja tindakan kita samada baik atau buruk adalah ditentukan oleh hati kita.

Jadi,Ilmu Tasawuf merupakan ilmu yg membicarakan soal hati.Baik dari segi jiwa,ruh ,semuanya berkaitan dengan hati.Ilmu Tasawuf juga membincangkan mengenai nafsu,peranan nafsu dalam mempengaruhi hidup kita.Juga bagaimana untuk memandu diri kita kearah lebih baik,maka pembersihan hati ataupun jiwa(Tazkiyatunnafs) perlu dilakukan.Ini kerana kalau bersih hati ataupun jiwa kita,maka eloklah perilaku kita.

Label:

Sabtu, Julai 10, 2010

Pengenalan Kepada Ilmu Feqah

Kebanyakan dari kita tentu pernah mendengar tentang ilmu feqah.Ini kerana seluruh perbuatan amali kita mesti ada kaitannya dengan ilmu feqah.Jadi pada artikel kali ini kita akan mengenali dengan lebih terperinci tentang ilmu feqah ini.

Apa maksud ilmu Fiqh?
Dari segi bahasa kalimah Fiqh bermaksud memahami. Pada asalnya ia bermaksud memahami agama secara keseluruhannya. Namun kemudiannya dikhususkan oleh para ulamak kepada memahami ajaran-ajaran  Islam yang berkaitan dengan hukum-hukum amali sahaja, iaitu percakapan, perbuatan dan hal-ehwal luaran manusia tanpa menyentuh soal aqidah dan akhlak.

Secara lebih jelas, ilmu Fiqh ditakrifkan oleh ulamak sebagai; "Ilmu berkenaan hukum-hukum Syarak yang bersifat 'amali yang diperolehi dari dalil-dalilnya secara terperinci".

Huraian;

1. Para ulamak membahagikan hukum-hukum Syarak kepada tiga iaitu;
a) Hukum-hukum I’tiqad
b) Hukum-hukum ‘Amali
c) Hukum-hukum akhlak.

Medan pengajian ilmu Fiqh ialah yang kedua di atas iaitu hukum-hukum amali. Ilmu Fiqh tidak menyentuh tentang hukum-hukum I’tiqad, begitu juga tidak menyentuh tentang akhlak.

2. Perkataan Syarak bermaksud Allah dan Rasul. Dalil-dalil Syarak pada dasarnya ialah Kitab Allah (yakni al-Quran) danSunnah RasulNya. Namun secara terperinci ia merangkumi juga Ijmak, Qiyas dan sebagainya.

Label:

Jumaat, Julai 09, 2010

Pengenalan Kepada Ilmu Tauhid

Apakah yang dimaksudkan dengan Tauhid?

Tauhid berasal dari perkataan "Wahhada" "Yuwahhidu" "Tauhidan", yang beerti mengesakan atau keesaan.

Ilmu tauhid pula adalah merupakan suatu ilmu yang membahaskan tentang sifat-sifat Ketuhanan dan af 'al-Nya yakni perbuatan-Nya. Selain daripada ilmu tauhid, antara lain ia juga dikenali dengan nama ilmu Sifat atau ilmu Usuluddin. Ilmu tauhid ini asas di dalam agama Islam dan menjadi induk kepada semua ilmu-ilmu yang dibangsakan kepada Islam.

Tempat ambilan atau asal ilmu tauhid ini ialah dari Al-Quran dan As-sunnah. Diantaranya ialah firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 163 yang bermaksud:
"Dan bermula Tuhan kamu itu ialah Tuhan yang satu, tidak ada Tuhan melainkan Ia, Yang Pemurah lagi Penyayang"

Dan lagi firman-Nya dalam Surah Muhammad ayat 19 yang bermaksud:
"Maka ketahuilah bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah"

Hukum mempelajari ilmu tauhid ini adalah fardhu ain ke atas setiap orang Islam yang mukallaf serta mendirikan dalil akli dan nakli sekurang-kurangnya secara umum.

Label: